Telekung dipakai wanita Islam di dunia
untuk menunaikan solat dan ciri-ciri asas telekung adalah menutup
seluruh badan kecuali muka. Menurut Kamus Dewan pula, telekung ialah
kain selubung untuk menutup tubuh perempuan ketika solat. Kalau dahulu
kita lihat telekung biasanya berwarna putih ataupun kuning cair, tetapi
akhir-akhir ini, telekung didatangkan di dalam pelbagai warna dan corak
serta menggunakan fabrik berbeza.
Telekung biasanya dijual pada harga
serendah RM40 sehingga ratusan ringgit berbeza mengikut jenis kain dan
jika ianya bersulam. Ada pelbagai pendapat yang berbeza apabila kita
bercakap mengenai isu telekung ini.
Ada yang berpendapat mengenakan
telekung dengan pelbagai jenis warna dan fabrik tidak sesuai dan ada
juga berpendapat tiada salahnya jika itu menggalakkan lebih ramai orang
Islam menunaikan solat. Kami ingin kongsikan transformasi telekung dari
dulu hingga sekarang. Bagaimanapun kalau ada terdetik rasa riak di hati,
lebih baik tidak memakainya untuk tontonan awam di surau atau di
masjid.
Telekung berbeza daripada
pelbagai segi termasuk jenis fabrik serta potongan. Ada potongan bulat
serta jenis bagaikan selendang yang dipakai khususnya di kalangan wanita
muda.
Antara fabrik yang digunakan adalah kapas, lycra, nylon, satin
dan untuk sulam pula terdapat puluhan sulam tangan atau mesin bercorak
tumbuh-tumbuhan dan juga menggunakan kain lace.